Tiada lagi Red Warrior di liga M 2017 Bola Sepak Kelantan (Kafa) kekal dengan pendirian menarik diri penyertaan The Red Warriors dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2017.
Pemangku Presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, kongres luar biasa (EGM) persatuannya hari ini sebulat suara memutuskan Kelantan menarik diri setelah mendapat persetujuan daripada ahli gabungan.
Bagaimanapun, barisan exco Kafa telah diberi mandat oleh ahli gabungan mereka untuk mencari dana sekurang-kurangnya RM3 juta sebelum 6 Januari ini jika mahu memastikan pasukan itu kembali bersaing pada musim depan.
“Berdasarkan kekangan kewangan dihadapi dan ketidakmampuan Kafa dalam soal penyertaan, kongres pada dasarnya bersetuju dengan keputusan tarik diri namun begitu masih meminta dan mengharapkan exco terus berusaha sehingga 6 Januari in, iaitu tarikh akhir pendaftaran pertama pemain.
“Kafa memerlukan tidak kurang RM3 juta sebelum sepak mula Liga-M dan kami berharap agar penaja tampil dengan segera membantu Kafa sebelum tarikh berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kongres luar biasa badan induk bola sepak negeri itu di Kota Bharu, hari ini.
Hadir sama, Naib Presidennya, Datuk Rosmadi Ismail dan Setiausaha Agung, Datuk Ismail Md Noor.
Kafa memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta bagi membolehkan pasukan itu kekal bersaing secara kompetitif namun persatuan itu masih bergelut mencari sumber kewangan selepas Tan Sri Annuar Musa melepaskan jawatan presiden, awal bulan lalu.
Mesyuarat khas Exco Kafa pada 15 Disember lalu, mendedahkan kantung kewangan persatuan itu hanya terkumpul RM800,000 daripada sumbangan penaja tertentu dan mereka perlu bekerja keras mencari dana sebelum sepak mula Liga-M, akhir Januari depan.
Sumber: SinarHarian
No comments:
Post a Comment